PENYIMPANGAN BAHASA (LICENTIA POETICA) Beberapa penyimpangan bahasa menurut Geoffrey Leech, sering dijumpai dalam puisi iaitu seperti berikut:
i. Penyimpangan Leksikal.Kata-kata yang digunakan dalam puisi menyimpang daripada kata-kata yang kita gunakan dalam hidup sehari-hari. Penyair memilih kata-kata yang sesuai dengan pengucapan jiwanya ataupun kata-kata itu disesuaikan dengan tuntutan estetik. Misalnya: mentari, pepintu, keder, leluka, ngiau, barwah, maruah dan sebagainya.
ii. Penyimpangan Semantis. Makna dalam puisi tidak merujuk pada satu makna sahaja tetapi kadang-kadang menonjol pada makna ganda atau makna dalaman. Makna kata-kata tidak selalunya sama dengan makna dalam syair yang ditulis oleh penyair lainnya. Kata ‘sungai’ bagi penyair yang berasal dari daerah banjir akan dikonotasikan dengan bencana, sementara para penangkap ikan dan penambang akan menyebutnya sebagai sumber penghidupan. Begitu juga dengan makna universial.
iii. Penyimpangan Bunyi.Bagi kepentingan rima, penyair sering mengadakan penyimpangan bunyi. Dalam puisi Amir Hamzah dan Chairil Anwar bertajuk “Aku”, kata ‘perih’ diganti dengan ‘peri’. Dalam puisi lamanya, kata ‘menggigil’ diganti ‘menggigir’, kata ‘melayang’ diganti dengan ‘melayah’ dan sebagainya.
iv. Penyimpangan Morfologi. Penyair sering melanggar kaedah morfologi secara sengaja. Istilah lelawa, mungkret, mangkal, nangis, gerayani dan sebagainya adalah contoh penyimpangan morfologi.
v. Penyimpangan Sintaksis. Sudah dijelaskan kata-kata dalam puisi bukan membangunkan kalimat, namun ia membangunkan larik-larik. Sering pula sulit mencari kesatuan mana yang dapat kita sebut satu kalimat dalam puisi. Baris-baris puisi ini tidak harus membangunkan kalimat kerana makna yang dikemukakan mungkin lebih luas daripada satu kalimat tersebut.
vi. Penggunaan Dialek Penyair ingin mengungkapkan isi hatinya secara khusus lagi tepat. Pengucapan isi hati dengan menggunakan bahasa Malaysia baku dirasakan belum mewakili ketetapan maksud itu. Sebab itu, penyair menggunakan kata-kata yang menyimpang daripada Bahasa Malaysia yang bersih daripada dialek. Para penyair mutakhir banyak menggunakan dialek kelompok bahasa daerah tertentu dalam masyarakat.
Sering kali dialek ini tidak diketahui secara luas oleh pembaca. Apalagi apabila kata atau frasa itu diambil daripada bahasa daerah.
vii. Penyimpangan Historis.Penyimpangan historis berupa penggunaan kata-kata kuno yang sudah tidak digunakan lagi dalam kehidupan sehari-hari. Penggunaannya dimaksudkan bagi meninggikan nilai estetik. Misalnya penyair Amir Hamzah, Usman Awang dan Shamsuddin Jaafar.
viii. Penyimpangan Grafologis.Ketika menulis kata-kata, kalimat, larik dan baris, penyair sengaja melakukan penyimpangan daripada kaedah yang biasa berlaku. Huruf besar dan tanda-tanda baca tidak digunakan sebagaimana mestinya. Hal ini digunakan penyair bagi memperoleh efek estetik. Penyimpangan sistem tulisan tersebut disebut penyimpangan grafologis.
Sumber:
TEORI DAN STRATEGI PENGAJARAN KESUSASTERAAN MELAYU
OLEH: DR. HAJAH SITI KHARIAH BINTI MOHD. ZUBIR
JABATAN KESUSASTERAAN MELAYU,
FAKULTI BAHASA,
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
No comments:
Post a Comment